Umur tingkatan 4 sudah timang cahaya mata, isteri kongsi asam garam rumah tangga… Siap tunjuk surat beranak anak tertera usia bapa

RAMAI yang terkejut melihat sekeping surat beranak.dikongsikan menerusi satu video yang tular di media sosial.

Bukan kerana nama pelik atau panjang seperti sering tular sebelum ini, sebaliknya adalah umur si bapa yang dinyatakan dalam sijil kelahiran itu.

“Anak sekolah nanti ‘terciduk’ cikgu tengok umur bapa dalam surat beranak terlalu muda,” menurut keterangan video yang memaparkan si bapa berusia 16 tahun dalam dokumen itu.

Wanita yang memuat naik video tersebut, Norshuhaida Rodzi berkata, ia merupakan sijil kelahiran anak lelakinya yang dilahirkan pada 5 Disember 2019.

Ibu muda berusia 22 tahun itu memberitahu, dia dan suami dikurniakan anak pada tahun yang sama mereka melangsungkan perkahwinan.

“Kami kahwin awal 2019. Kalau ikut bulan memang umur suami 16 tahun masa kami dapat anak sebab tarikh lahirnya adalah 21 Disember.

“Tapi jika ikut tahun, suami 17 tahun. Masa kahwin tu pun umur saya 19 tahun. Ikutkan saya masih 18 tahun ketika itu sebab birthday saya bulan September,” katanya

 

View this post on Instagram

 

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)

Lebih mesra disapa Shu, katanya, dia dan suami yang kini berusia 20 tahun mengambil keputusan besar untuk berkahwin pada usia muda.

Menurutnya, mereka mendirikan rumah tangga selepas mengenali antara satu sama lain ketika sama-sama belajar di sebuah kolej di Seberang Perai, Pulau Pinang.

“Kami sambung pengajian dalam peringkat sijil iaitu Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), saya dalam aliran elektronik dan suami pula elektrik,” ujarnya yang berasal dari Seberang Jaya.

Berkongsi pengalaman berkahwin muda, ibu kepada anak yang kini berusia tiga tahun itu berkata, pelbagai cabaran yang perlu ditempuhinya bersama suami.

“Macam-macam cabaran ada. Masa gaduh, tak gaduh, maklumlah masing-masing masih darah panas dan muda.

“Antara cabaran ialah nak imbangkan kehidupan sebagai pelajar dan suami isteri. Paling mencabar apabila kami ada masalah kewangan, mental kena kuat.

“Jiwa masih muda, tapi kena fikir dah kahwin. Tak boleh lagi balik lambat macam dulu, nak keluar dengan kawan-kawan kena minta izin suami,” katanya sambil menambah saudara-mara dan rakan-rakan terkejut mengetahui dia berkahwin di usia muda, dengan lelaki muda.

Dalam pada itu, Shu menyifatkan suaminya yang bekerja di kantin sekolah, mempunyai perwatakan yang matang, pendiam dan penyabar.

“Tapi kelakar apabila masa mula nikah dulu, orang selalu kata kami macam adik-beradik, lebih-lebih lagi muka kami berdua lebih kurang sama,” katanya yang kini merupakan suri rumah.

Mengulas lanjut, Shu yang kini sarat hamil anak kedua tidak lari menerima komen-komen negatif mengenai keputusan mereka berkahwin di usia muda.

“Jangan pandang rendah pada orang yang kahwin muda. Selalunya orang nampak kahwin muda ni jodohnya tak panjang dan akan cerai.

“Kahwin lambat juga tidak bermakna jodoh panjang, ada juga yang bercerai. Kahwin muda atau lambat bukan isunya, yang penting ada tanggungjawab dan persefahaman.

“Mental kena kuat dan beri sokongan antara satu sama lain. Kalau ada masalah, jangan pendam, kena meluahkan dan cari penyelesaian kerana kesihatan mental kena jaga,” katanya.

Video sijil kelahiran anak yang dikongsi Shu di aplikasi TikTok meraih 2.2 juta tontonan.

Sumber : mStar

Leave a Comment