Tak sanggup lihat bekas isteri terus dik3cam, Bad Indigo dedah punca cerai… mohon maaf kerana pentingkan diri

SELEPAS lebih tiga bulan mengumumkan perceraian, penyanyi Bad Indigo akhirnya buka mulut menjelaskan antara faktor yang membawa kepada perpisahannya dengan bekas isterinya, Ashira Aziz.

Mengakui silap sendiri, Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah, 47, turut memohon maaf kepada Ashira dan keluarga kerana tidak bersikap jujur sejak awal perkenalan mereka.

“Kami berpisah disebabkan salah saya. Sejak awal saya yang tidak jujur dengan dia (Ashira). Saya tidak beritahu tentang sakit yang dialami sehingga akhirnya kami berpisah.

“Saya pentingkan diri sendiri ketika itu kerana takut kehilangannya. Apabila tiada kejujuran maka hilanglah kepercayaan. Itu silap besar saya dan Ashira menjadi mangsa.

“Saya minta maaf kepada Ashira dan keluarganya atas apa yang dilalui. Dia tidak bersalah dan tiada orang ketiga dalam hubungan kami,” katanya.

Dalam masa sama, anggota kumpulan Indigo ini juga memohon kepada semua pihak agar berhenti menunding jari dan meletakkan kesilapan ke atas Ashira.

Bad berkata demikian apabila ramai yang mengatakan punca perpisahan mereka disebabkan wujud orang ketiga dan turut mengaitkan masalah kesihatan yang dialami sebagai punca rumah tangga mereka tidak bertahan lama.

“Ramai orang yang tidak puas hati apabila kami umumkan bercerai dan tidak membongkarkan puncanya. Disebabkan itu semua orang terus kecam Ashira. Ada yang kata dia tinggalkan saya disebabkan kaki kudung.

“Jika tidak tahu hujung pangkal, kenapa perlu sibuk hal orang. Lebih baik diam jika tiada perkara elok hendak diperkatakan. Setiap kecaman itu boleh menimbulkan fitnah dan anda semua buat ‘dosa kering’.

“Tidak adil untuk Ashira apabila dia terus menerima kecaman. Anda tidak tahu apa yang dia lalui sangat menyakitkan,” ujarnya.

Bad dan Ashira melangsungkan perkahwinan pada 11 Mac tahun lalu namun pasangan itu mengumumkan penceraian mereka pada Jun lalu.

Bekas peserta program Vaganza musim ketujuh ini juga kini mengalami kesukaran bergerak akibat penyakit diabetes dan telah menjalani pembedahan membuang lima jari kaki kiri.

Sementara itu Bad juga terus mendoakan kebahagian Ashira selepas penyanyi itu mengumumkan telah bertemu pengganti hati sejak sebulan lalu.

“Ashira berhak mendapat kebahagian dia. Insya Allah ini masa dia. Jadi kenapa nak kecam dia.

“Jika tidak di dunia ini, saya doa akan agar dapat kebahagiaan di akhirat kelak. Itu yang lebih baik untuk semua orang,” jelasnya.

Sumber : mStar

Leave a Comment