Pengawal keselamatan suruh letak makanan atas lantai, rider tak sampai hati… Ramai geram JMB kedekut beli meja! “Macam bagi kucing makan je”

BERGELAR seorang penghantar makanan (rider) mungkin nampak mudah bagi kebanyakan orang.

Namun sebenarnya golongan ini menggalas amanah yang besar iaitu memastikan pesanan makanan sampai dengan selamat ke tangan pelanggan.

Bagaimanapun dalam menjalankan tanggungjawab hakiki ini, mereka sering kali berdepan dengan kerenah pelbagai pihak, baik daripada pelanggan mahupun pihak pengurusan kediaman.

Ini kerana tidak semua lokasi mudah diakses oleh rider khususnya bagi residen mewah yang mempunyai kawalan keselamatan ketat.

Bagi kawasan residen seperti ini, rider lazimnya diminta meninggalkan pesanan makanan di pondok pengawal keselamatan.

Baru-baru ini seorang rider dikenali sebagai Amirol meluahkan rasa kesal dengan sikap pihak pengurusan sebuah residen mewah kerana tidak begitu cakna kerana gagal menyediakan tempat meletak makanan yang bersesuaian.

“Kawasan bukan main mewah tapi meja pun tak mampu beli. Makanan kena tinggal dekat lantai macam tu.

“Apabila cakap tak elok makanan letak lantai, boleh guard tu cakap ‘you jumpalah bos saya’. Ini macam ke?

Rider berkenaan membuat perkongsian bertujuan agar perkara tersebut diambil perhatian oleh pihak residen.

“Bukan tak hormat security tapi cara dia cakap pun tak elok,” tulis rider tersebut pada video yang dimuat naik di aplikasi TikTok.

Menerusi video dan komen, difahamkan kawasan tersebut adalah sebuah residen jenis kondominium yang terletak di Subang Jaya, Selangor.

Menerusi video tersebut juga, kelihatan beberapa bungkus makanan yang dipesan oleh penghuni di premis berkenaan diletakkan di atas lantai di ruang lobi bangunan.

Tambahnya, tujuan dia merakam dan berkongsi video berkenaan adalah supaya pihak pengurusan residen lebih cakna dengan perkara tersebut.

“Mak saya ajar makanan jangan letak dekat lantai. Situ tempat orang pijak, situ juga kita letak makanan. Tak elok orang tengok.

“Makanan kalau kita letak dekat lantai, ibarat sama dengan kaki dah,” tulisnya pada ruangan komen.

Perkongsian dan pandangan rider tersebut turut disokong oleh sebahagian netizen dengan rata-ratanya mencadangkan agar penghuni dapat berbincang solusi terbaik mengenai isu berkenaan.

Sebahagian daripada komen netizen yang turut mengecam tindakan pihak pengurusan residen berkenaan.

“Kondo aku masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekali je rider letak atas lantai, kena hamun dah JMB (badan pengurusan bersama). Terus ada meja siap label ‘Grab, Foodpanda and parcel’.

“Itulah… bulan-bulan bayar duit maintenance, apa salahnya JMB mereka keluarkan duit beli meja atau rak untuk letak makanan.

“Kalau dapat customer yang ‘berangin’, memang kena la bos dia tu. Macam bagi kucing makan je letak bawah macam tu,” demikian antara komen netizen.

Sehingga kini perkongsian video Amirol meraih sehingga 35,600 jumlah tontonan di aplikasi TikTok.

Sumber : mStar

Leave a Comment