Pohon Bantuan Orang Ramai, Ini Keadaan Terkini Anak Aman Graseka

Pelakon Aman Graseka, 54, terpaksa menangguhkan hasrat untuk melakukan acara ‘jejak tanah’ untuk anak lelakinya, Aishyraf Mikail Shah, kini berusia setahun dua bulan yang kurang sihat. Ia berikutan keadaan kesihatan kanak-kanak itu yang bukan saja tidak berapa sihat, tapi turut dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut akibat demam yang menyebabkan sawan.

“Sekarang matanya pula ada jangkitan virus, baru jadi sejak lima hari lepas. Kami terpaksa tangguhkan acara ‘jejak tanah’ ini dan mungkin dibuat pada awal Disember nanti. “Anak saya perlu berpantang tidak boleh kena pasir selagi majlis ini tidak diadakan. Dalam acara itu, dia akan diletakkan di atas pasir dan berjalan atas bunga.

“Keadaan matanya sekarang masuk hari keenam, air pecah dan nampak darah,” katanya. Aman yang kini menetap di kampung Padang Geh, Kuala Ketil, Kedah berkata, Aishyraf Mikail perlu dibawa berjumpa pakar kanak-kanak untuk dikenal pasti keadaan sebenar virus di matanya.

“Saya sebenarnya berat hati nak dedahkan perkara ini kerana nanti dikata meminta bantuan. Namun kenyataannya, saya sekarang dah beberapa bulan tiada kerja. “Sebabnya saya sekarang berlakon dah tak sentuh bukan muhrim. Begitu juga dalam bab bekerja dengan jurusolek artis perempuan dan kru perempuan. Itu yang agak susah orang nak panggil berlakon.

“Saya harap ada bantuan dari mana-mana pihak untuk bantu kerana faham-fahamlah kos rawatan jumpa doktor pakar mahal sekarang,” katanya. Terdahulu, Aishyraf Mikail yang demam dimasukkan ke sebuah hospital swasta dan menerima rawatan selama tujuh hari sebelum dibenarkan keluar.

“Saya cuma tak bawa anak jumpa pakar mata lagi. Lepas kami sambut ulang tahun kelahirannya, dia terus masuk hospital sebab demam. Selepas itu kena sakit mata pula dan kerap gosok mata. “Saya sekarang baru lagi bekerja hantar parcel. Mana tahu kalau-kalau jangkitan kuman bermula dari situ pun boleh jadi juga

“Kali terakhir saya berlakon pula pada Julai lalu dalam filem Hantu Kum Kum untuk Astro First dan penggambarannya di Perlis,” katanya. Aman mengakui menetapkan syarat untuk tidak bersentuhan bukan muhrim membawa kesan terhadap karier lakonannya.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi, saya dah tetapkan syarat ini. Saya tahu kesannya, tapi saya percaya rezeki datang daripada Allah.

“Tawaran itu ada, tapi syarat saya buat produksi berat nak terima walaupun untuk beri watak bapa. Apapun, jangan kita mengeluh dan salahkan sesiapa. Rezeki Tuhan dah tetapkan. Kita usaha saja,” katanya. Menerusi perkahwinan kedua Aman dengan Nurul Amrina Zamri, 33, dia turut mempunyai seorang lagi anak lelaki, Aishymir Mateen, kini berusia tiga tahun. Sumber Hmetro.

Leave a Comment