“Maafkan Saya Cikgu, Saya Pakai Selipar..”- Tak Nak Susahkn Ibubapa, Cikgu Sebak Dgn Luahan Pelajar Ini

Rantau Panjang: “Maafkan saya cikgu, saya pakai selipar kerana kasut saya hilang dibawa arus banjir,” luah Nasrin Mukmin Nasir, 10, kepada salah seorang guru yang menanti di hadapan pagar sekolah.

Nasrin adalah salah seorang murid yang tetap bersemangat untuk hadir ke Sekolah kebangsaan (SK) Gual To’Deh, di sini, hari ini, walaupun hanya berselipar sahaja, selepas kasutnya hilang kerana hanyut dibawa banjir, baru-baru ini.

Dia yang pada awalnya dilihat dalam kerisauan akhirnya tersenyum gembira apabila guru bertugas tidak memarahi sebaliknya terus memberi semangat dan mengucapkan syabas kerana tetap hadir walaupun baru sahaja ditimpa musibah.

“Saya sudah tiada kasut lain untuk dipakai, selain tidak mahu menyusahkan ibu untuk membeli yang baharu. Oleh itu, saya cekalkan hati untuk datang juga ke sekolah dengan berselipar getah sahaja.

“Abah saya hanya mengambil upah sebagai buruh dan ibu pula tidak bekerja, sudah pasti mereka sukar untuk mencari wang memandangkan kediaman kami juga teruk ditenggelami banjir.

“Sejujurnya, saya cemburu melihat rakan lain mampu ke sekolah hari ini dengan lengkap berkasut baharu, tetapi saya cekalkan hati kerana mengingatkan pesan ibu untuk terus belajar walau dalam keadaan apa sekali pun,” katanya ketika ditemui di SK Gual To’Deh, di sini, hari ini.

Sementara itu, bagi Mohd Anas Ashraf, 9, dia tidak malu untuk datang ke sekolah dengan berselipar getah kerana teruja untuk berjumpa rakan-rakan dan memulakan sesi pembelajaran di dalam kelas bersama guru.

“Kasut saya ada, tidak hilang dibawa arus banjir tetapi disaluti lumpur yang teruk. Ibu saya dah cuba mencucinya berkali-kali namun lumpur tetap tidak hilang jadi ia perlu dibeli baru

“Saya datang dahulu ke sekolah dengan berselipar hari ini, kerana ibu dan ayah berjanji untuk membelinya dalam masa terdekat selepas mereka boleh kembali bekerja.

“Sebenarnya saya takut juga dimarahi guru kerana tidak berpakaian lengkap, namun berasa lega kerana cikgu membenarkan kerana faham akan situasi kami yang menjadi mangsa banjir,” katanya.

Mangsa banjir tetap semangat ke sekolah

Murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh, di sini, mencatat kehadiran 95 peratus, walaupun hampir keseluruhan daripada mereka menjadi mangsa banjir, baru-baru ini.

Tinjauan ke sekolah berkenaan pada awal pagi, hari ini, mendapati kebanyakan murid bersemangat hadir ke sekolah, namun tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal

Kebanyakan daripada pelajar lengkap berpakaian seragam sekolah dengan kasut serta beg, namun tidak kurang juga yang hadir dengan berselipar sahaja kerana kasut hilang dibawa arus banjir.

Guru Besar SK Gual To’Deh, Wan Abd Fatah Wan Yusof, berkata, ibu bapa tetap bersemangat menghantar anak mereka ke sekolah, walaupun hampir 90 peratus keluarga pelajar di sini adalah mangsa banjir.

“Mereka mengalami kerosakan harta benda yang agak teruk akibat bah berkenaan tetapi tetap berusaha menghantar anak-anak pada hari ini, yang mana majoriti daripada mereka lengkap berpakaian sekolah.

“Walaupun ada segelintir yang tidak berpakaian lengkap, namun ia tidak menjadi masalah untuk turut hadir bagi menimba ilmu selepas sekian lama terpaksa menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Sebagaimana yang sedia maklum, sekolah ini dinaiki air separas 0.5 meter (m) pada bah lalu, menyebabkan pihak pengurusan perlu menjalankan gotong-royong pembersihan sebelum persekolahan dibuka,” katanya ketika ditemui di SK Gual To’Deh, di sini.

SK Gual To’Deh adalah salah sebuah sekolah yang hampir keseluruhan muridnya menjadi mangsa banjir, namun tetap menjalankan sesi persekolahan seperti biasa pada hari ini.

Sementara itu, Mustafa Ahmad, 67, berkata, dia terpaksa membeli pakaian seragam baharu buat dua cucu yang mula bersekolah pada hari ini bagi memastikan mereka bersemangat untuk hadir menimba ilmu.

“Kediaman kami dinaiki air separas dua m menyebabkan semua barangan di rumah mengalami kerosakan, manakala barangan kelengkapan sekolah dua cucu juga hilang dibawa arus banjir.

“Namun begitu, saya tetap berusaha menyediakan pakaian, beg dan kasut baharu buat mereka yang dilihat teruja untuk memulakan persekolahan pada hari ini,” katanya.

Sumber: Metro

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jgn Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Jom Tekan Like Page Kami Di Bawah Artikel ni.

Pihak kami tldak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini.

Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini.Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda.

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut

Leave a Comment