“Bidadari Terima Saya Seadanya”-Ucapan Manis Adam Corrie Buat Isteri Sempena Ulang Tahun

PELAKON Adam Corrie menyifatkan isterinya iaitu Fazeema Mohd Fuad sebagai individu penting dalam membantunya menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim sejak memeluk agama Islam pada 2007.

Adam atau Adam Corrie Lee Abdullah, 54, berkata, Fazeema cukup sabar dan tabah mendidiknya selain menerima dia seadanya.

“Alhamdulillah, bidadari terima saya seadanya malah membantu saya mendalami dan menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim dengan baik selepas kami sah menjadi suami isteri,” katanya.

Adam berkongsi luahan itu menerusi hantaran di Instagram bersempena dengan ulang tahun ke-14 perkahwinan mereka baru-baru ini.

Imbau Adam, dia juga tidak menyangka Fazeema, 44, sanggup menerima lamarannya memandangkan perbezaan bangsa, budaya apatah lagi dia seorang mualaf yang baharu memeluk Islam.

Atas sebab itu juga kata Adam, sehingga ke hari ini dia sentiasa bersyukur kepada Allah SWT kerana mengurniakan seorang isteri yang baik buatnya.

“Terima kasih Allah kerana kurniakan bidadari yang baik dan terima kasih bidadari saya kerana terima lamaran saya 14 tahun lepas dalam keadaan saya baru kenal Islam, seorang selebriti, berlainan bangsa dan budaya,” katanya.

Dalam pada itu, Adam berkata, sepanjang berkahwin sudah banyak perkara suka dan duka dilalui bersama isteri namun kagum dengan kesabaran isteri dalam melayari bahtera perkahwinan.

Kata Adam, sikap saling ingat mengingati yang diterapkan dalam rumah tangga mereka juga kunci kekuatan hubungan mereka.

“Jatuh bangun sentiasa bersama memberi sokongan. Semoga Allah memberkati rumah tangga kami sehingga ke Jannah,” katanya.

Untuk rekod, Adam memeluk Islam pada 13 Julai 2007 dan berkahwin dengan Fazeema setahun kemudiannya.

Selepas 10 tahun menanti, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Adam Fateh Lee yang kini berusia empat tahun.Sumber:mStar

Leave a Comment